Sunday, January 4, 2015

Fouziah Gous Tak Sangka Dapat Mengacara NONA


SIAPA sangka niatnya untuk bergelar pengacara termakbul apabila dilamar sebagi hos rancangan popular Nona di TV3 pada tahun ini. 

Meskipun pernah muncul sebagai hos undangan bagi beberapa program televisyen namun ia bukan alasan pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini yakin dengan kerjaya barunya itu. 

Menurut empunya nama Nor Fouziah Mohd Gous atau lebih dikenali sebagai Fouziah Gous ini, dia masih terkejut dengan pelawaan menjadi hos rancangan itu sehingga hari ini. 

"Saya membesar dengan menonton program Nona, saya tidak sangka akhirnya diberi peluang mengemudi program tersebut. 

"Bayangkan, kali pertama diberitahu mengenai tawaran tersebut, memang saya tidak percaya. Malah, saya masih berasa seperti mimpi walaupun telah menjalani penggambaran untuk dua episod," katanya pernah menjadi hos jemputan Nona sebelum ini. 

Mengakui ia merupakan hadiah hari lahirnya ke 32 tahun 11 Disember lalu, ujarnya, dia gembira kerana pihak produksi khususnya penerbit, pengarah dan hos otai TV3 seperti Ezzah Aziz Fawzy serta Norfarahin Jamsari banyak memberi tunjuk ajar. 

"Walaupun kurang keyakinan tetapi dengan bantuan daripada mereka, rasa percaya mula lahir dalam diri. 

"Bagi saya, Nona satu rancangan yang sangat besar dalam industri seni dan ia telah mempunyai pengikut tersendiri sejak 30 tahun lalu. 

"Jadi tanggungjawab yang saya pikul cukup besar dan berat. Kerana itu juga saya selesa komited terhadap Nona sahaja sepanjang tahun ini," jelasnya. 

Tambah bintang filem Bujang Senang ini, dia juga tidak menyangka diberi kepercayaan mengendalikan rancangan itu seorang diri. 

"Mula-mula rasa gementar tu kurang sedikit sebab saya ingatkan diberi pasangan seperti Farah Fauzana dan Neelofa. 

"Tetapi apabila mereka beritahu saya akan tampil sendirian, saya menjadi semakin takut," bicaranya Nona 2015 akan memulakan siaran pertamanya hari ini. 

Bercerita mengenai cabaran yang perlu dihadapinya, kata Fouziah, dia sangat bimbang dengan respons penonton yang bakal diterimanya nanti. 

"Mungkin ada yang suka dan mungkin juga tidak, pandangan mereka berbeza, apa pun saya akan buat yang terbaik untuk semua," katanya. 


Ditanya apakah kelainan yang akan ditampilkan, ujarnya, dia selesa menyampaikan skrip yang diberikan dengan bahasa Melayu yang betul. 

"Adakala kita tidak perasan, bahasa yang digunakan seharian banyak kesalahan meskipun kecil sahaja. Jadi saya mahu didik masyarakat menggunakan bahasa dengan lebih betul, tetapi masih ada segmen yang menampilkan saya menyampaikan dengan bahasa santai," katanya banyak membaca dan membuat rujukan dengan menonton Nona musim lalu sebagai pengetahuan. 

Selain dua episod yang telah dirakam, Fouziah dan krew Nona juga akan turun ke Kelantan untuk membuat liputan mangsa banjir di negeri itu. 

Suami beri restu 

Bersyukur dengan tawaran tersebut, isteri kepada Zhafran Yusof ini berkata, suaminya adalah orang paling gembira apabila mendapat tahu mengenai berita itu. 

"Sebagai isteri, saya memang segan dengan suami apabila terpaksa pulang lewat setelah menjalani penggambaran lakonan. Sebab itu, selepas kahwin saya mengehadkan aktiviti lakonan kerana hormat dan mahu menjaga hati suami. 

"Jadi saya tanam niat untuk tampil sebagai pengacara secara kecil-kecilan, tapi dengan izin ALLAH SWT, saya kemudiannya mendapat tawaran yang cukup hebat seperti ini," katanya. 

Jelasnya, dia cukup berbesar hati apabila suaminya memberikan restu sepenuhnya untuk dia bergelar pengacara. 

"Pertama kali sepanjang perkenalan dan perkahwinan kami dia memberikan restu seumpama itu. Bagi saya ia cukup berharga dan saya tidak akan sia-siakannya," katanya. 

0 comments :

Post a Comment