Tuesday, January 20, 2015

Luahan Isteri Berusia Suami Nikahi Orang Gaji Yang Masih Hot Dan Bergetah


SEORANG pembaca setia ruangan Pengakuan, yang cuma membahasakan diri sebagai Rafidah baru-baru ini telah mengirimkan sepucuk surat dan menceritakan pula kisah pengakuannya, mungkin kerana sudah tidak tahan menyimpan kisahnya itu seorang diri.

“Saya berumur awal 50-an dan mempunyai tiga orang anak yang telah dewasa. Seorang daripada anak saya menuntut di Amerika Syarikat (AS) dan setelah tamat pengajian, dia bekerja di sana. Dia kemudian berkahwin dengan teman sekerjanya yang merupakan warga tempatan dan seterusnya menetap di sana. Mereka telah pun mempunyai seorang anak lelaki yang kini berumur dua tahun.

“Dua orang lagi anak saya juga telah bekerja. Bagaimanapun, mereka tidak tinggal bersama saya dan menyewa rumah lain kerana tempat mereka bekerja jauh dengan rumah saya.
Advertisement

“Saya berasal daripada keluarga berada dan disegani. Saya berkahwin dengan seorang juruterbang. Rumah tangga kami bahagia seperti juga rumah tangga pasangan lain yang anak-anak mereka sudah membesar.

“Bagaimanapun saya tidak menyangka bahawa saya sebenarnya mempunyai musuh dalam selimut yang juga tinggal di dalam rumah saya yang makan minumnya kami yang berikan.

“Saya mempunyai seorang pembantu rumah berasal dari Acheh, Indonesia. Namanya Desi. Dia berumur lewat 20-an. Desi masih belum berumah tangga dan ketika kisah yang ingin saya cerita ini berlaku, dia baru tiga tahun bekerja dengan saya.

“Desi memiliki paras wajah yang menyenangkan mata memandang. Tutur katanya juga lemah lembut. Dia seorang yang rajin, tidak tinggal sembahyang, dan boleh memasak pelbagai jenis masakan.

“Sebenarnya Desi merupakan mahasiswa sebuah universiti di Jakarta. Disebabkan kemiskinan dan setelah keluarganya terlibat dalam tsunami di Acheh kira-kira 10 tahun lalu, dia merantau ke Malaysia dan bekerja sebagai pembantu rumah,” cerita Rafidah.



 Sambungnya lagi, segalanya berjalan dengan baik di dalam rumahnya. Suaminya jarang berada di rumah kerana bertugas. Tinggal dia bersama Desi yang menjadi teman bercakap.

Dua minggu sekali, dua anaknya akan pulang ke rumah. Kebiasaannya mereka akan makan bersama di rumah atau keluar makan di restoran yang menjadi kesukaan anaknya. Jika keluar, mereka akan membawa Desi sekali.

Menurut Rafidah, jika suaminya pulang daripada bertugas, biasanya dia akan bercuti selama tiga atau empat hari. Suaminya lebih suka duduk di rumah daripada keluar dan Desi yang akan menyiapkan segala makan minumnya.

Hubungan mereka nampak biasa sahaja dan tidak terlihat kemesraan yang melebihi batasan.

Menurut Rafidah lagi, dia sendiri tidak menyedari bila dan bagaimana hubungan mesra di antara suaminya dan Desi terjalin.

Suatu hari semasa mengeluarkan pakaian suaminya dari beg kerana dia baharu balik daripada bertugas di luar negara, Rafidah terjumpa satu surat yang nampak agak pelik.

Dia membuka surat tersebut dan sebenarnya adalah surat nikah. Di dalamnya tercatat nama suaminya dan nama Desi. Pernikahan mereka telah dilangsungkan di kampung Desi di Acheh.

Rafidah bertanya kepada suaminya mengenai perkara tersebut. Dia mengakui bahawa telah bernikah dengan Desi sejak enam bulan lalu.

Mengingatkan tarikh tersebut baharu dia teringat bahawa Desi ada bercuti dan katanya mahu pulang ke kampung kerana kakaknya berkahwin.

Dia bertanya pula kepada Desi dan Desi hanya tunduk. Setelah didesak, Desi mengaku dan meminta maaf daripadanya.

Rafidah terduduk. Dia rasa seperti batu besar menghempap kepalanya. Dia tidak terkata apa-apa, hanya menangis dan berulang kali bertanya mengapa suaminya dan Desi sampai hati berbuat demikian padanya. Namun kedua-duanya mendiamkan diri.

Oleh kerana tidak boleh menerima hakikat bahawa suaminya berkahwin dengan pembantu rumah, Rafidah meminta cerai.

Kini selepas hampir setahun berlalu, Rafidah tinggal seorang diri di rumahnya. Anak-anak pula semakin jarang pulang ke rumah. Kadang-kadang bagi menghiburkan hati, dia akan pergi ke rumah jiran yang rapat dengannya untuk berbual dan minum teh.

Ada ketikanya pula dia akan keluar tanpa arah tujuan dengan menaiki bas. Dia akan keluar pagi dan pulang pada waktu petang. Sebenarnya tiada tempat yang dituju cuma dia mahu bersiar-siar menenangkan fikiran yang kusut.

Pernah satu hari ketika sedang berada di dalam bas, dia terlihat kereta bekas suaminya sedang berhenti di lampu isyarat. Di tempat duduk penumpang dilihatnya Desi sedang memangku seorang bayi yang berumur lebih kurang lapan bulan.

Semakin hancur luluh hatinya. Bekas suaminya dilihat amat bahagia dan sesekali mencuit anaknya. Air matanya segera mengalir dan cepat-cepat dilap dengan kertas tisu. Tanya hatinya, mengapa dia harus melihat semua itu.

Walaupun dia sedar bahawa dia telah bercerai dengan suaminya, naluri hatinya masih sedih apabila melihat kemesraan di antara bekas suaminya dan isteri baharunya.

Bekas suaminya pula langsung tidak pernah hendak bertanya khabar mengenai dirinya atau anak-anak. Anak sulungnya ada juga mengajaknya untuk tinggal bersamanya di AS namun dia enggan.

Kasihan membaca surat Rafidah. Dia keseorangan dan fikirannya terganggu mengingatkan apa yang terjadi kepada dirinya. Kemungkinan juga dia akan mengalami masalah kemurungan dan jika tidak dirawat keadaannya mungkin akan menjadi parah.

Kepada jiran-jiran, adik beradik dan saudara-maranya, rajin-rajinlah bertanya khabar kepadanya dan jika ada masa, menziarahinya supaya dia berasa terhibur. 

0 comments :

Post a Comment